Sihir, Satu di Antara 7 Dosa yang Membinasakan
AMALAN sihir adalah amalan syaitan yang boleh mendatangkan dosa besar disisi Allah SWT. Amalan ini sama dengan menyekutukan Allah, siapa saja yang memperlajari dan kemudian dia mengamalkannya maka ia berdosa, apalagi sampai mencapai prihal kejahatan.
Dalam sebuah hadits Rasulullah SAW bersabda “Jauhilah diri kamu daripada tujuh (7) dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:” Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina,”(HR. Muslim)
Dengan ini jelas bahawa adalah tidak mustahil bagi seseorang itu ditimpa penyakit yang disebabkan oleh sihir, akan tetapi hendaklah diingat bahawa ia berlaku atas keizinan Allah SWT. Sihir adalah sejenis ilmu yang dikuasai oleh golongan jin kafir dan syaitan. Oleh itu bagi manusia yang mengamalkan ilmu bererti mereka akan memperalatkan dan bekerjasama dengan syaitan bagi tujuan-tujuan tersebut.
Sihir adalah perbuatan yang berkaitan dengan jin yang menyebabkan perubahan secara mendadak tanpa diketahui sebabnya. Sihir juga merupakan perantaraan di antara tukang sihir dan syaitan yang mensyaratkan si tukang sihir tersebut agar melakukan perbuatan haram dan syirik di samping menyerahkan segala ketaatan kepadanya demi memperolehi bantuan dan pertolongan yang dihajatkan.
Dalam masyarakat melayu memang terkenal mengenai ilmu sihir. Ilmu sihir ini selalu dikaitkan dengan bomoh dan dukun. Ia sering dirujuk dalam masyarakat kita sebagai perbuatan orang atau kemasukan syaitan.
Bahan yang sering digunakan oleh tukang sihir di kalangan masyarakat Melayu bergantung kepada keperluan tukang sihir itu sendiri. Lazimnya air sihir, keris, darah, telur, jarum dan patung merupakan bahan yang popular digunakan di kalangan bomoh atau tukang sihir Melayu. Di samping itu ia turut dibantu beberapa jenis jin kafir atau hantu (syaitan) bagi tercapainya apa yang diminta. Antara jin atau hantu (syaitan) tersebut dikenali sebagai berikut :
Hantu Bungkus : Boleh meresap dalam tubuh manusia,
Langsuir : Perempuan yang mati ketika melahirkan anak, boleh digunakan bagi tujuan mengganggu. (Jin akan menyerupai wajah perempuan tersebut)
Polong : Bagi menghisap darah mangsa.
Jembalang (hantu raya) : Tukang sihir akan membuat perjanjian dengan jembalang sebagai pengawal apabila sesuatu tapak atau kawasan diganggu oleh orang lain.
Kesemua ini diperolehi tukang sihir sama ada secara warisan keturunan nenek moyangnya atau dipelajari oleh seorang guru sihir. Dalam hubungan ini syaitanlah yang memainkankan peranan yang paling besar.
TANDA-TANDA TERKENA SIHIR :
Tanda-tanda gejala sihir begitu banyak, antaranya:-
1.Seseorang yang baru berkahwin tidak mempunyai nafsu terhadap isterinya.
2.Seseorang itu merasa kadangkala terlalu panas dan kadangkala terlalu sejuk sehingga ia sanggup meminum air yang mendidih.
3.Suami dan isteri yang tiba-tiba sahaja merasa tidak aman, benci-membenci antara satu dengan lain walaupun sebelumnya mereka sangat berkasih-sayang.
4.Kebiasaannya gejala penyakit yang disebabkan oleh sihir lebih menonjol sewaktu senja.
5.Juga banyak dari penyakit-penyakit baik fizikal atau kejiwaan yang tidak dapat disahkan puncanya oleh doktor-doktor yang pakar.
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa jenis sihir yang diamalkan oleh masyarakat melayu di nusantara.
1. PATUNG.
Tukang sihir akan menggunakan bahan-bahan yang didapati daripada tubuh badan mangsa seperti rambut, kuku dan sebagainya yang kemudian diikat pada patung. Seterusnya patung itu dicucuk dengan jarum. Pada masa yang sama jampi mantera dibaca oleh tukang sihir tersebut dan dipercayai mangsa akan berasa sakit dan boleh membawa maut (dengan izin Allah)
2. SANTAU.
Nama ini sudah begitu popular di kalangan masyarakat Melayu. Santau merupakan bahan campuran antara kaca yang ditumbuk halus dan ia akan dimasukkan ke dalam makanan atau minuman mangsa dengan membaca ayat-ayat tertentu oleh tukang sihir.
3. TELUR LAYANG (TUJU-TUJU)
Tukang sihir akan mengambil sebiji telur yang telah dijampi yang lalu dibalut dengan kain kuning. Kemudian sebatang jarum akan dicucuk ke dalam telur tersebut sambil jampi mantera dibaca. Akibatnya mangsa akan berasa sakit serta boleh membawa maut .(dengan izin Allah).
4. TANGKAL dan AZIMAT
Tukang sihir akan menulis ayat azimat dengan lidi daun pokok kabong berserta dakwat merah yang dicampur dengan bedak za’faran dan air ros. Dakwat merah tersebut ialah darah seseorang yang telah mati dibunuh dengan kejam atau darah ayam jantan. Kemudian tangkal atau azimat tadi diperasap dengan kemenyan yang dilakukan pada malam Jumaat atau malam khamis yang ditujukan kepada mangsanya.
5. SIHIR PEMBENCI dan KASIH SAYANG
Sihir pembenci bertujuan memisahkan sepasang kekasih atau suami-isteri. Manakala sihir kasih-sayang boleh dilakukan oleh tukang sihir dengan menulis ayat-ayat jampi di atas kertas kemudian dibakar dan habuknya dimasukkan ke dalam minuman yang disertakan dengan jampi tiga kali sambil menyebut nama orang yang dihajati. Perbuatan ini biasanya dilakukan terhadap orang yang disukai.
Sihir cinta termasuk dalam sihir yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Sihir cinta kadang-kadang lebih menyayat hati – dia cantik tetapi tiada siapa yang ingin berkahwin dengannya. Kalau berkahwin pun tidak lama sudah bercerai. Apa yang tidak kena? Apabila seseorang itu suka bersendirian, pendiam, tidak suka berjumpa dengan orang, fikirannya meracau, selalu juga pening, lesu dan tidak bermaya serta hilang semangat tanpa diketahui punca sebenarnya, ini dinamakan sihir membuat orang tidak suka.
Sihir menahan pernikahan itu pula adalah apabila seseorang menghadapi pening kepala yang berterusan, sekalipun telah mengambil obat tapi dada terasa sesak terutama selepas Asar hingga tengah malam. Dia melihat orang yang datang melamar sebagai bermuka hodoh. Fikirannya kerap melayang, apabila tidur selalu gelisah dan tidak nyenyak, perut juga selalu berasa sakit, demikian juga di bahagian bawah tulang punggung.
5. RASUKAN
SATU lagi ciri-ciri sihir ini ialah yang menyebabkan si penghidap dirasuk oleh satu kuasa ghaib hingga tidak sedarkan diri, mungkin menjerit-jerit, meronta-ronta dan lain-lain. Kuasa ghaib di sebalik kejadian itu ialah daripada golongan jin dan syaitan. Imam At-Tabrani telah meriwayatkan hadis dengan asnad yang Hassan bahawa Nabi SA.W. bersabda yang maksudnya:
“Jin itu tiga golongan, satu golongan yang mempunyai sayap yang boleh terbang di angkasa, satu golongan berupa ular dan satu lagi golongan yang bertempat dan berpindah”.
6. SAKA ( KETURUNAN )
Saka adalah jin yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga sudah menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku samada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunan pesakit. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek-moyang terdahulu. Dan diturunkan kepada generasi kemudian tanpa diketahui atau jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki.
Setiap penyakit ada obatnya. Begitu juga perbuatan sihir yang dilakukan oleh bomoh dengan perantaraan jin kafir atau syaitan boleh diatasi dan di ubati penyakit tersebut.
Cara-cara mengatasi gejala sihir adalah seperti berikut :
Apabila telah disahkan seseorang itu terkena sihir samada dari segi fizikal, mental atau spiritual, maka dalam dalam konsep Islam, tiap-tiap yang bermasalah ada penyelesaiannya. Tiap-tiap penyakit ada penawarnya. Islam telah membuat beberapa peraturan untuk mengatasi penyakit disebabkan sihir.
Terutamanya setelah kita melihat fakta yang jelas bahawa Nabi Muhammad S.A.W. pernah terkena sihir dalam kisah yang terkenal dengan Labid bin A’sam. Peristiwa ini berlaku untuk memberitahu kita bahawa terdapat ayat Al-Quran yang dinamakan Al-Mu’awwizat, iaitu beramal bersungguh-sungguh dan yakin dengan ayat-ayat itu sehingga ia menjadi penawar.
Begitu juga dengan ayat Kursi dan memang dari kaedahnya ayat tersebut adalah pengubat dan penyembur sihir. Malah Nabi Muhammad S.A.W. telah menyebut secara terperinci bahawa sihir itu boleh diubati dengan membaca enam ayat pertama surah Al-Baqarah, tiga ayat daripada surah Al-Baqarah iaitu ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir daripada surah tersebut. Ayat-ayat ini hendaklah diamalkan dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T. boleh menyembuhkan sihir in shaa Allah.
Ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :
1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6
2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257
3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286
Di dalam kitab zikir al-Mathurat karangan al-Imam Syahid Hassan al-Banna ada dihimpunkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa sahih yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk membina kekuatan rohani dan menghalang daripada gangguan sihir.
Lindungilah diri kita juga dengan :
1. Banyak-banyakkan berzikir dengan zikir yang diwariskan oleh Nabi Muhammad SAW umpamanya Zikir Al-Mathurat.
2. Menyebut nama Allah SWT dalam setiap pekerjaan.
3. Menyebut nama Allah SWT setiap kali masuk ke dalam tempat yang gelap.
4. Jangan menyakiti binatang seperti anjing dan kucing.
5. Jangan tidur bersendirian, jika terpaksa berwuduklah dan membaca doa sebelum tidur.
6. Jangan membuang air kecil ke mana-mana lubang atau takungan air.
7. Jangan membunuh ular yang masuk ke dalam rumah sewenang-wenangnya.
8. Jangan mendedahkan aurat kasar di dalam rumah dan jangan selalu bersolek dan berhias kerana ditakuti timbul rasa ghairah jin jantan terhadap wanita berkenaan.
Orang-orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa kuasa Allah SWT. mengatasi segala-galanya baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi dan bahawa interaksi dengan ayat-ayat Allah (al-Quran) itu sebesar-besar penawar. Oleh itu mereka tidak perlu berubat dengan cara-cara yang memudaratkan akidah seseorang seperti dengan berlindung dengan jin-jin kafir dan syaitan melalui perantaraan bomoh atau dukun dan jin-jin kafir yang tidak beramal dengan petunjuk Allah SWT.
Kita semua berhak melindungi diri daripada terkena sihir. Ibarat kita semua berhak memandu kereta juga berhak untuk mengelak dari sebarang malapetaka ataupun tragedi. Kita berhak untuk hidup di dunia ini justeru juga berhak menangkis dan menepis semua perbuatan ghaib yang jahat daripada menimpa diri kita semua. Beramallah dengan ajaran Islam dan sunah Rasulullah SAW dan jangan tinggalkan doa-doa perlindung daripada gangguan syaitan yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita semua. [Sumber: The Educational System in Islam /Karya: Arief Rachman /Penerbit: Pustaka Zahra]
No comments:
Post a Comment